Puisi yang bermutu

Puisi yang bermutu secara amnya menerbitkan maksud atau makna yang boleh ditaakul secara mendalam dalam setiap perbincangan selain faktor utama yang menjadi elemen kepada pembentukan sesebuah puisi iaitu penggunaan perlambangan sama ada yang tersirat mahupun tersurat.

Perihal lain yang menyokong kekuatan puisi juga ialah diksi (pemilihan kata) yang digunakan, metafora (perlambangan), personifikasi (sifat manusia yang diberikan kepada benda), simile (perbandingan) selain laras bahasa tinggi yang melonjakkan lagi kreativiti penulisnya.

Meskipun tidak seperti pantun yang menuntut persamaan pada suku kata akhir atau rima, puisi juga akan menjadi lebih indah sekiranya diakhiri dengan sebutan rima yang sama.

Merujuk kepada tujuh puisi dalam Kolektif Sela ini, dapat dikesan wujudnya satu usaha yag sangat baik dalam setiap pembinaan kata walaupun tidak begitu serasi dengan maksud yang sepatutunya, tetapi belajar dan mencuba itu lebih baik daripada tidak melakukannya langsung.

Antara tiga puisi yang boleh diketengahkan selaras dengan tema kemerdekaan ialah Mahar Sebuah Merdeka, Hidup Mati Manusia Alpa Membumi dan Pohon Pertiwi manakala puisi yang lain juga ada keistmewaan masing-masing.

Sehubungan itu, tahniah kepada penulis yang puisinya terpilih dan yang lain-lain juga wajar diberi penghargaan kerana kesungguhan mengarang untuk menghasilkan puisi daripada nurani, asli dan berketerampilan.

Leave a Comment